1 pusat pemulihan akhlak, 3 kampung bawah PKPD

95

12 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan Kuarters Kakitangan, Batu Gajah, Kinta Perak, serta tiga kampung di Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu, selama 14 hari mulai 14 hingga 27 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan terpaksa melaksanakan PKPD di PPA dan Kuarters Kakitangan Batu Gajah selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 29 individu disahkan positif Covid-19 di kawasan terbabit.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif COVID-19 telah direkodkan serta 45 baki saringan sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di PPA Batu Gajah dan Kuarters Kakitangan bermula 14 sehingga 27 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di pusat tahanan ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli
keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan mengumumkan PKPD di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu, berikutan KKM mengesahkan terdapat 29 kes positif daripada 570 ujian saringan dijalankan terhadap penduduk di ketiga-tiga kawasan terbabit.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu bermula 14 sehingga 27 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini mengawal pergerakan penduduk, mengurangkan jangkitan dalam komuniti serta memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 2,152 penduduk di ketiga-tiga lokaliti ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan PKPD di Penjara dan Kuarters Kakitangan Simpang Renggam, Kluang, Johor, mengikut jadual pada 14 Februari ini selepas KKM mendapati kes baharu positif Covid-19 kini menurun kepada hanya dua kes semalam dilaporkan dikesan di kawasan terbabit.

Beliau berkata sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 476 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 294 kes positif COVID-19 telah
direkodkan.

“KKM turut melaporkan kes positif COVID-19 di penjara ini telah menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta kes terakhir yang direkodkan ialah pada 11 Februari 2021 iaitu hanya dua kes.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju
untuk menamatkan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan pada 14 Februari 2021 seperti yang dijadualkan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.