Warga asing dapat vaksin COVID-19 percuma

58

11 FEB: Kabinet yang bermesyuarat semalam telah bersetuju agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan turut melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia secara percuma.

Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 dalam satu kenyataan berkata program berkenaan akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Katanya, keputusan itu selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan “tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat”, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan ini adalah selepas mengambil kira pelbagai faktor.

“Antara faktor berkenaan termasuklah persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.

“Faktor kedua dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan; selain mengambil kira rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan),” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, keputusan itu juga mengambil kira kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

“Pekerja asing yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu keputusan ini akan memudahkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara dan membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,” katanya.

Menurut kenyataan itu keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya.

Katanya ia juga adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.