Salahuddin lapor SPRM isu tawaran percutian mewah

140

11 FEB: Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahannya pernah ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh kartel daging lembu import haram seperti didedahkannya, sebelum ini.

Berikutan itu Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara PAN berkata, beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika diarahkan berbuat demikian kerana kes terbabit membabitkan isu serius.

“Saya tidak kisah untuk membuat laporan dan akan pergi ke SPRM, tiada masalah mengenainya, mungkin minggu depan (buat laporan) selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ini menunjukkan saya memandang serius berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Salahuddin mendedahkan beliau pernah ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh individu dipercayai mewakili kartel daging import ketika baru beberapa bulan dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau juga mendakwa didatangi wakil syarikat kartel di pejabat yang menawarkan percutian kelas pertama di Eropah, namun menolak tawaran terbabit.

Difahamkan, tindakan kartel itu dipercayai bagi memastikan syarikat mereka menjadi ‘pilihan’ utama kementerian untuk urusan membawa masuk bekalan daging sejuk beku ke negara ini.

Berikutan itu, Salahuddin berkata, pihaknya menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengesyorkan segera penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kartel daging ini.

Beliau berkata, pihaknya sendiri sedia bekerjasama melalui RCI itu kerana ia penting berikutan membabitkan kepentingan pengguna khususnya umat Islam di negara ini.

“Sepatutnya apabila isu ini dilaporkan dan menjadi pengetahuan umum kerana ia membabitkan kepentingan rakyat dan isu halal, jadi perlu ada RCI.

“Perkara ini bukan kecil bagi saya kerana ia membabitkan keselamatan makanan di negara ini, justeru saya akan terus menggesa supaya RCI ditubuhkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.