MTVET ditubuh untuk perkasa TVET sebagai agenda negara

64

11 FEB : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Majlis TVET Negara (MTVET) ditubuhkan bagi menambah baik penyelarasan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam usaha memastikan laluan TVET sebagai agenda nasional.

Kata Noraini, tiga teras strategik iaitu tadbir urus bersepadu dan terselaras, TVET dipacu industri dan mencorak masa hadapan, serta 12 strategi pemerkasaan, digariskan bagi memperkasa TVET sebagai agenda negara.

“Kolaborasi strategik merentas kementerian yang disokong oleh keterlibatan pihak industri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi pendidikan dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

“Selain itu, enam inisiatif utama telah dikemukakan sebagai hala tuju agenda pemerkasaan TVET iaitu merangka model pembiayaan mampan, membangun polisi untuk menggalakkan penyertaan industri, mewujudkan Pelan Penjenamaan TVET Nasional, menubuhkan TVET Collaboration Hub, mewujudkan polisi penyelarasan penawaran program TVET dan membangunan Data Raya TVET,” jelasnya menerusi satu kenyataan melalui Facebook rasminya.

Noraini menambah, kolaborasi strategik merentas kementerian yang disokong oleh keterlibatan pihak industri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi pendidikan dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

Katanya lagi, kementeriannya juga telah membentangkan dua kertas bagi menetapkan hala tuju penggubalan dasar berkenaan TVET negara iaitu Majlis TVET Negara: Mandat Baharu Agenda Pemerkasaan TVET dan Agenda Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional pada mesyuarat  MTVET hari ini.

“Mesyuarat yang diadakan buat julung kali itu dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disertai menteri-menteri kabinet serta wakil industri secara dalam talian.

“Selain dianggotai tokoh industri dan wakil akademia yang juga rakan strategik perkongsian data, kepakaran, teknologi, ilmu baharu dan kajian signifikan bagi manfaat pembuat dasar dan pengamal TVET, majlis ini turut dianggotai pelbagai kementerian dan agensi lain,” ujarnya.

Noraini turut memaklumkan struktur tadbir urus majlis itu terdiri daripada tiga peringkat iaitu Majlis TVET Negara, Jawatankuasa Eksekutif MTVET dan Kumpulan Fokus TVET.

“Majlis TVET Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Eksekutif MTVET dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

“Kumpulan fokus MTVET pula dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi,”jelasnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.