MAQIS Rampas Daging Kerbau Bernilai RM4.2 juta

45

11 FEB: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya merampas kira-kira 335 tan daging kerbau sejuk beku bernilai RM4.2 juta kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, daging yang diimport dari negara India itu berjaya dirampas ketika melakukan pemeriksaan ke atas kontena daging tersebut di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), Pulau Pinang, baru-baru ini

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas 12 kontena berisi 17,370 kotak daging itu didapati keseluruhan daging tersebut menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa negara.

“Keseluruhan daging telah disita secara berperingkat bermula Isnin hingga semalam dan aging kerbau bernilai RM4.2 juta itu disita bagi membolehkan pihak kami menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zarina memberitahu jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

“MAQIS akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk bagi memastikan tumbuhan, haiwan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan. 

“Sekali gus akan memastikan semua keperluan tersebut adalah  bebas ancaman penyakit dan bahan cemar,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.