Lebih 1 juta rakyat Pahang suntik vaksin akhir Februari

37

11 FEB: Vaksin COVID-19 fasa pertama di Pahang akan mula disuntik kepada kira-kira 1.12 juta rakyat negeri itu, bermula akhir Februari.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata proses menyuntik vaksin bagi fasa pertama tersebut akan diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan.

“Sukacita saya maklumkan, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini menetapkan program suntikan vaksin COVID-19 bagi negeri Pahang di bawah Fasa 1 melibatkan barisan hadapan lebih 28,000 orang, akan bermula akhir Februari ini.

“Mereka terlibat ialah dalam kalangan kakitangan/anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Task Force COVID Negeri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu bagi fasa kedua, ia akan melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, dan golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, suntikan vaksin akan bermula April ini.

“Di bawah Fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022.

“Dengan ini dijangkakan, kesemua kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini, bakal divaksinasikan sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri yang akan melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan/agensi berkenaan.

“Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang. Sehubungan itu, sukacita saya sarankan kepada semua pihak agar dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 ini menurut tatacara yang ditetapkan.

“Ini demi memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan, insya-Allah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.