KWSP mansuh syarat pengeluaran kemudahan i-Sinar

270

11 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

Menurut beliau, pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

tengku zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

“Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

“KWSP telah memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tengku Zafrul menambah, bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.
Beliau berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum
RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

“Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000,” jelasnya.

Tengku Zafrul memberitahu, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

“Berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP dan kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ahli-ahli KWSP agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan mereka. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.