JAS tahan dua kontena barang import e-sisa

16

11 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya menahan dua kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) di Pelabuhan Pulau Pinang yang dipercayai diimport secara haram dari Sepanyol dan Filipina.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata rampasan berkenaan dilakukan hasil pemeriksaan dilakukan secara bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, pada Khamis lalu.

“JAS berjaya tahan dua kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) di Pelabuhan Pulau Pinang yang diimport secara haram dari Sepanyol dan Filipina.

“Siasatan akan diteruskan. Notis Arahan telah dikeluarkan untuk menghantar pulang kontena ke negara asal selaras dengan Konvensyen Basel. Operasi ini turut disertai JKDM. Tahniah JAS Pulau Pinang!,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dalam satu kenyataan berkata kontena tersebut ditahan di pelabuhan untuk siasatan lebih lanjut terhadap pengimport mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sebarang pelanggaran akta akan dikenakan denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih dari lima tahun,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.