JAS Sabah gempur 60 kilang sepanjang Februari

30

11 FEB: Kira-kira 60 premis kilang menjadi sasaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah menerusi Operasi Gempur yang akan memulakan siasatan di seluruh negeri bermula Februari ini.

Pengarahnya, Amirul Aripin berkata, jika ada premis didapati melakukan kesalahan membabitkan pencemaran alam sekitar, JAS Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah alam sekitar terbabit.

“JAS Sabah sedang giat menjalankan Ops Gempur membabitkan 40 pegawai penguat kuasa yang akan membuat pemeriksaan terhadap premis berkaitan.

“Kriteria premis untuk diperiksa semasa Ops Gempur ini adalah premis yang terletak di hulu takat pengambilan air atau lembangan sungai yang sensitif, premis sering diadu atau bermasalah,

“Selain itu, kita juga akan menyemak premis yang menghasilkan beban pencemaran atau buangan terjadual yang tinggi, premis yang dilesenkan oleh JAS serta premis yang beroperasi secara haram serta menyebabkan pencemaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu objektif Ops Gempur pada kali ini adalah untuk memastikan pihak industri mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dalam mereka menjalankan operasi premis.

“Operasi ini juga dilakukan bagi memastikan isu pencemaran alam sekitar terus ditangani oleh JAS Sabah secara konsisten dengan mematuhi norma baharu.

“JAS Sabah terus mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.