Dua Warga Asing Cuba Rasuah Polis dihukum penjara

37

11 FEB: Seorang warganegara Bangladesh dan Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini yang didakwa memberi rasuah kepada anggota polis, baru-baru ini.

Mohammad Rakibul Hasan, 29 dan Zainal Hussein Shuna Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Dalam kes berasingan, Mohammad Rakibul yang mengaku bersalah bagi tuduhan memberi suapan RM200 kepada anggota polis berpangkat sarjan sebagai dorongan memberi kebenaran kepadanya untuk merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Bagi tertuduh kedua, Zainal Hussein mengaku bersalah memberi suapan RM3,000 kepada anggota polis berpangkat sarjan sebagai dorongan melepaskan isterinya yang telah ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akra Imigresen 1959.

Mohammad Rakibul didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Balai Polis Bukit Tinggi, pada jam 9.40 pagi, 5 Febuari lalu, manakala Zainal Hussein didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik tiga, Ibu Pejabat Daerah Kuantan pada jam 12 tengahari, 19 Ogos tahun lalu.

Mohammad Rakibul dijatuhkan hukuman satu tahun lima bulan dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada pihak polis pada 5 Febuari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohammad Rakibul dalam rayuannya memohon rayuan dikurangkan memandangkan perlu menjaga ayah yang cacat penglihatan serta ibunya tidak bekerja dan adiknya yang masih bersekolah.

Zainal Hussein yang diwakili peguam tidak menyatakan apa-apa permohonan rayuan.

Zainal Hussein dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun lima bulan dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada pihak polis pada 12 Ogos lalu

Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai sekiranya terlibat dalam jenayah rasuah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman satu tahun lima bulan dan denda RM1,000 terhadap Mohammad Rakibul manakala Zainal Hussein dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun lima bulan dan denda RM15,000.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.