Bandar Raub Perdana Dikenakan PKPD Mulai Esok

32

11 FEB: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang bermula esok sehingga 25 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM mengesahkan 75 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

“KKM juga telah mengambil 40 sampel PCR dan daripada jumlah itu, 35 negatif manakala 5 lagi masih menunggu keputusan. Saringan bersasar terhadap baki kontak rapat sedang dilaksanakan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, 

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Bandar Raub Perdana,Raub, Pahang bermula 12 (esok) sehingga 25 Februari depan. 

“SOP PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan boleh dirujuk di laman sesawang MKN,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, Ismail Sabri memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 575 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 532 individu dikompaun manakala 39 orang pula direman dan empat telah dijamin. 

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (103), tiada penjarakan fizikal (96), tidak memakai pelitup muka (96), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (70), keluar rumah tanpa alasan munasabah (50), aktiviti pusat hiburan (10), makan di premis melebihi had dibenarkan (17), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (16) dan lain-lain (117),” katanya. 

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam buah kenderaan darat. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 15,545 operasi sanitasi awam merangkumi merangkumi 146 zon iaitu zon merah (96), zon jingga (12), zon kuning (32) dan zon hijau (6).

“Semalam, sebanyak 101 operasi sanitasi telah dilaksanakan di seluruh negara yang merangkumi 45 Zon Merah, dua (2) Zon Jingga, lapan (8) Zon Kuning dan satu (1) Zon Hijau.

“Operasi ini melibatkan 547 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 178 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 102 buah jentera JBPM,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 119,653 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 64 hotel dan 11 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 538 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 113,190 individu dibenarkan pulang, “katanya. 

Semalam, Ismail memaklumkan anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan 
Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 88 tapak binaan di seluruh Malaysia

“Daripada jumlah itu, 84 tapak binaan beroperasi dan mematuhi SOP yang ditetapkan manakala empat lagi tapak binaan tidak beroperasi,” katanya lagi.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.