18 sindiket menyamar pegawai LDHN dikesan

71

11 FEB: Sebanyak 18 kes sindiket penyamaran sebagai pegawai LHDN yang melibatkan kerugian sekurang-kurangnya berjumlah RM636,311.00 telah dilaporkan hanya bagi tempoh 1 sehingga 9 Febuari.

Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDN untuk memperdayakan mangsa.

LHDN menerusi kenyataan media memaklumkan sindiket tersebut akan menggunakan taktik keji dengan menakutkan mangsa menyebabkan mangsa panik dan akhirnya memaksa mangsa mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan.

Malah, menurut LHDN, ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket.

“Sehubungan itu, orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terpedaya serta lakukan pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

“Orang ramai hendaklah lebih peka dan sentiasa menasihatkan ahli keluarga serta masyarakat sekeliling berkenaan perkara ini agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, LHDN berkata, sehingga kini, 2,927,400 e-mel telah dikirim kepada alamat e-mel yang terdapat dalam pangkalan data LHDN dan 814,865 e-mel masih lagi dalam peringkat proses pengiriman.

“LHDN sentiasa melakukan usaha-usaha yang perlu dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai agar sentiasa cakna atau ambil tahu isu berkaitan aktiviti scammer ini.

“Selain daripada peringatan melalui saluran media massa dan media sosial, LHDN turut menggunakan saluran e-mel [email protected] untuk menghantar infografik peringatan berkaitan aktiviti scammer,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini di portal rasmi LHDN dan sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh dibuat secara dalam talian melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.