11 kes kematian, 3 daripadanya tiada rekod penyakit kronik

38

11 FEB: Seramai 11 rakyat tempatan dan dua warga asing berusia antara 38 hingga 87 tahun termasuk tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya menjadi korban terbaharu penularan wabak Covid-19 di Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini kembali mencecah lebih 3,000 kes dengan 13 kes kematian, 259 di rawat di Unit Rawatan Rapi dan 122 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan 3,384 kes baharu positif Covid-19 berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dilaporkan di Malaysia sehingga jam 12 tengah hari tadi adalah 254,988 kes.

“Bagaimanapun, bilangan kes sembuh hari ini adalah 3,774 kes mengatasi kes baharu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 202,269 kes.

“Daripada 3,384 kes baharu berkenaan 3,369 adalah membabitkan kes penularan tempatan, manakala lagi 15 adalah kes import,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,082 kes (32.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 898 kes (83.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, ini diikuti oleh Johor sebanyak 777 kes (23.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  sebanyak 435 kes (12.9 peratus).

“Sebanyak 93 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (35 kes), Kluster Tembok Taiping (24 kes), Kluster Tembok Bendera (14 kes), Tembok Bukit Besi (11 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Tembok Renggam (2 kes), dan Kluster Tembok Mempaga (1 kes).

“Kes kematian pada hari ini membabitkan masing-masing tiga kes di Selangor dan Sabah; dua kes di Johor dan  Terengganu serta satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Sarawak.

“Kes-kes kematian melibatkan 11 warganegara dan dua (2) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.