Zahid nafi cerca Muhyiddin dalam komen Facebook

595

10 FEB: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mencerca Perdana Menteri di laman Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya ada pihak tertentu yang sengaja menggunakan profil dan nama akaun Facebooknya untuk meninggalkan komen biadab dengan niat jahat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan apa yang berlaku adalah jauh daripada prinsip dan amalan hidupnya yang sentiasa mementingkan budi bahasa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Saya percaya ada pihak tertentu sengaja meninggalkan komen biadab menggunakan akaun Facebook menggunakan nama dan gambar profil saya dengan niat yang jahat.

“Atau menyunting imej komen Facebook seolah saya menulis komen tersebut dengan tujuan ingin mencerca Tan Sri Muhyidin. Tindakan seperti itu jauh daripada amalan dan prinsip hidup saya.

“Kita perlu berbudi bahasa dengan semua meskipun berbeza pendirian politik. Saya menggesa pihak yang berbuat demikian supaya menghentikannya,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.