Supermax gantung operasi kilang sarung tangan getah

74

10 FEB: Pengilang sarung tangan getah, Supermax Corp Bhd menggantung sementara operasi di kilang pengeluarannya di Meru dekat Klang, Selangor, selama tiga hari mulai hari ini.

Langkah itu diambil selepas beberapa pekerjanya didapati positif COVID-19.

Supermax mencatatkan kes pertama virus tersebut yang dipercayai berpunca daripada pihak pengangkut luaran, walaupun telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Aspek keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan komuniti tempatan merupakan keutamaan dalam usaha membendung penularan ini.

“Penutupan sementara pada 10 hingga 12 Februari ini adalah sejajar dengan usaha untuk meminimumkan risiko penyebaran virus tersebut,” kata Supermax dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Syarikat itu juga menegaskan bahawa ia telah menjalankan ujian saringan COVID-19 berkala terhadap pekerja asing dan tempatan di semua kilang miliknya.

“Supermax juga memberi kerjasama erat kepada Kementerian Kesihatan dan akan terus mematuhi SOP COVID-19 yang telah ditetapkan.

“Usaha pembasmian kuman di semua premis dan asrama pekerja akan turut diteruskan secara lebih kerap dengan melaksanakan semua langkah-langkah kawalan secara ketat,” jelas Supermax lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.