Prestasi eksport sawit tidak terjejas akibat COVID-19

83

10 FEB: Walaupun penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan dan mengubah landskap aktiviti ekonomi negara namun keadaan tersebut tidak memberi kesan negatif apabila prestasi eksport minyak sawit dan produk-produknya sepanjang tahun lalu meningkat 14.18 peratus dengan sumbangan sebanyak RM72.8 bilion kepada pendapatan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata selain berjaya mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 yang hanya mengutip RM63.73 Billion, kejayaan ini juga bahkan merupakan jumlah tertinggi semenjak tahun 2017 yang memperoleh RM77.9 bilion.

Menurut beliau, ini membuktikan industri sawit merupakan salah satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di samping menjadi sumber penting kepada negara yang membangun seperti Malaysia.

“Industri sawit juga memainkan peranan penting dalam menangai pandemik COVID-19 ketika ini di mana sabun dan pencuci merupakan antara medium penting membasmi virus tersebut yang ada bahan asasnya dihasilkan daripada sawit.

“Sawit bukan sahaja amat memberi manfaat kepada manusia malah kepada haiwan, dari akar hingga ke pucuk, pokok hingga ke pelepahnya dari buah termasuk isi dan sabut semua memberi manfaat kepada manusia dan haiwan bukan sahaja dari sudut makanan malah kepada kesihatan dan farmaseutikal,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan secara maya dalam laman Facebook rasmi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin menjelaskan kempen tersebut yang dilaksanakan oleh MPOC itu bagi memberi kesedaran di samping menyemai perasaan bangga dan penghargaan kepada minyak sawit yang merupakan penyumbang terbesar terhadap pendapat negara hari ini.

Tambahnya, kempen itu akan menumpukan peranan minyak sawit dalam pembangunan sosioekonomi, pemakanan, kesihatan, farmaseutikal di samping pemulihan alam sekitar serta industri makanan dan bukan makanan.

“Kita yakin menerusi kempen baik dan tersusun ini, semua orang akan menerima fakta-fakta tentang minyak sawit dan mengakui pelbagai manfaatnya kepada pembangunan ekonomi sosial, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar serta bio kepelbagaian.

“Rakyat kita mesti menjadi benteng bagi melindungi komoditi pertanian utama negara kita.Ini sebagai permulaan untuk kita mengajak dunia bersama-sama perjuangan hakikat bahwa sawit adalah anugerah Tuhan untuk alam sekitar.

“Saya juga berharap orang ramai mengambil kesempatan menerusi kempen ini, berlumba-lumba dapatkan maklumat tepat di samping kenali minyak sawit kita dengan lebih dekat lagi. Dengan pelbagai manfaat dan kebaikan dimiliki, minyak sawit merupakan anugerah tidak ternilai dan perlu dilindungi sepanjang masa,” katanya.

Khairuddin turut melancarkan laman sesawang khas buat kempen tersebut bagi memastikan ia berjalan mengikuti saranan kerajaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Saya berbesar hati memperkenalkan laman sesawang www.sawit.com.my kepada orang ramai, di mana kebanyakan kempen dan aktiviti berkaitan kempen Sawit Anugerah Tuhan akan diadakan dalam talian dan secara maya.

“Saya menyeru orang ramai layari laman sesawang ini bagi mendapatkan maklumat tentang minyak sawit Malaysia serta mengikuti perkembangan aktiviti-aktiviti semasa yang dijalankan semasa kempen ini di samping orang ramai juga boleh menyertai peraduan di laman sesawang ini untuk menilai kefahaman rakyat memahami tentang sawit Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.