Operasi tren Rapid KL hingga 11 malam sepanjang PKP

48

10 FEB :  Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan rel dibawah kendaliannya akan beroperasi bermula 6 pagi hingga 11 malam bermula esok berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 18 Feb ini.

Prasarana memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, kekerapan di luar waktu puncak perkhidmatan rel Rapid KL juga akan diubah kepada setiap 15 minit manakala kekerapan pada waktu puncak kekal seperti biasa.

“Perubahan ini meliputi jajaran tren bagi LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT (Transit Aliran Massa) Laluan Kajang dan Laluan Monorel KL.

“Semua pengguna perkhidmatan rel Rapid KL dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka.

“Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan khususnya memakai pelitup muka sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, langkah-langkah ini adalah penting bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di samping memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pengesanan semula sekiranya terdapat kes positif COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.