Lebih 500 orang berdegil langgar SOP PKP

56

10 FEB: Jumlah individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menurun kepada hanya 589 orang ditahan semalam termasuk 543 dikompaun, 42 direman dan empat lagi dijamin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka ditahan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh polis yang melakukan 71,836 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata seramai 5,234 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,195 anggota telah membuat pemantauan di 6,209 buah restoran, pasar raya (4,196), bank (4,063), penjaja (2,823), kilang (1,741) dan pejabat kerajaan (979).

ismail sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Katanya, turut dipantau ialah 1,146 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (298) dan terminal pengangkutan udara (102).

“Semalam, seramai 589 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 543 dikompaun, 42 individu direman manakala
empat (4) lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah, tiada penjarakan fizikal (184), tidak memakai pelitup muka (130), cuba merentas daerah/negeri tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (56), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (36) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah (25).

“Manakala 13 lagi ditahan kerana melakukan aktiviti pusat hiburan; membawa penumpang berlebihan (11), ingkar perintah kuarantin (7) dan lain-lain (63),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata secara kumulatifnya, kerajaan sudah melakukan sebanyak 15,886 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

Beliau berkata operasi sanitasi telah melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.

“Semalam, sebanyak 107 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 46 zon merah, tiga di zon jingga, tujuh di zon kuning dan tiga di zon hijau di seluruh negara.

“Operasi sanitasi ini melibatkan 373 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 188 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (39) serta 91 buah jentera JBPM,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri juga mengesahkan pihak berkuasa juga menahan 55 pendatang tanpa izin (PATI), merampas tujuh kenderaan darat dan tiga bot/kapal dalam Ops Benteng di seluruh negara semalam. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.