Kerajaan lulus RM10.25 juta peruntukan bantu mangsa banjir

68

10 FEB : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak  RM10.25 juta peruntukan diluluskan kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana banjir semasa musim monsun timur laut 2020/2021.

Menurut beliau, peruntukan awal Bantuan Wang Ihsan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan negeri yang terlibat banjir bagi mempercepatkan proses pengagihan bantuan.

“Berdasarkan laporan keseluruhan bencana banjir monsun timur laut 2020/2021 daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), bilangan mangsa bencana di seluruh negara yang direkodkan mulai 11 Nov 2020 hingga 14 Jan 2021 dianggarkan berjumlah 20,341 keluarga.

“Setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM500 manakala RM5,000 diberikan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana banjir,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun katanya lagi,  memandangkan negara masih lagi berada dalam fasa monson timur laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) boleh memohon peruntukan tambahan berdasarkan jumlah sebenar keluarga yang telah disahkan sekiranya terdapat pertambahan mangsa banjir.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.