Jangan salah guna kebenaran diberi kerajaan

99

10 FEB: Semua pihak disarankan supaya tidak menyalahgunakan kebenaran kerajaan dalam membuka semula beberapa aktiviti perniagaan, khususnya kebenaran makan di restoran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua premis perniagaan wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Begitu juga diharapkan daripada pembeli dan pengguna untuk bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi.

“Perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 untuk bersama-sama memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI

Dalam pada itu, Alexander memberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan seluruh komuniti peruncit turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas persetujuan membuka semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang bermula hari ini.

“Sesungguhnya pengumuman ini tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja pemain industri yang terbabit, malah kepada seluruh pengguna yang telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.

“Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sehingga 7 Feb 2021, sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa berhubung pematuhan SOP oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan kompaun di bawah Akta 342,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.