Gelaran Datuk pelakon Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik

66

10 FEB : Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gelaran Datuk yang diberikan kepada dua pelakon, Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari dan Boy Iman atau Noruliman A. Rahman telah ditarik balik dan dibatalkan oleh kerajaan Pahang.

Dua pelakon tersebut sebelum ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Selain dua pelakon tersebut, dua ahli perniagaan tempatan iaitu Wong Shee Kai @ Ricky dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman serta ahli perniagaan wanita warga Vietnam, Tran Thi [email protected] turut ditarik balik dan dibatalkan.

Sallehuddin yang juga pendaftar darjah kebesaran negeri berkata, perintah tersebut dibuat atas perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan surat penarikan balik pengurniaan darjah kebesaran terhadap mereka berkuat kuasa 1 Feb lalu.

“Penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-undang Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan tersebut. 

Surat penarikan terhadap Wong dan Tran Thi Mai juga berkuat kuasa pada 1 Feb lalu, manakala surat Syed Mohammad Faiz berkuat kuasa 12 Nov 2020.

Difahamkan semua individu terlibat pernah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti jenayah, menipu dan rasuah.

Selain itu, Wong yang juga pengasas sebuah syarikat juga kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki berhubung kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 18 Ogos 2019, Kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan beberapa pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri, yang antara lain menyatakan siasatan serta-merta perlu dibuat terhadap penerima darjah kebesaran yang dikaitkan dengan salah laku, ketidakjujuran, kekurangan integriti atau perkara yang mencemarkan nama baik penerima.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.