Calon SPM, SVM 2020 perlu masa tenangkan diri

87

10 FEB: Berakhirnya sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 mulai semalam memberi ruang dan peluang kepada mereka dalam menguruskan emosi dan persediaan menghadapi peperiksaan tersebut.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, mereka sememangnya memerlukan sokongan khususnya daripada penjaga dan ibu bapa bagi memastikan mereka sentiasa bersedia walaupun melakukan persediaan di rumah.

“Mereka juga merupakan calon istimewa di mana mereka menghadapi peperiksaan besar ketika negara sedang melanda wabak COVID-19 yang menjejaskan pembelajaran murid-murid di sekolah. Ketika ini mereka memerlukan tempoh bertenang dan persiapan psikologi.

“Di samping itu, tempoh ini dapat membugarkan semula semangat pelajar agar lebih bermotivasi menghadapi detik peperiksaan tidak berapa lama lagi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dalam satu pekeliling memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 berakhir pada 9 Februari 2020.

Beliau memaklumkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini.

Sementara itu, Normala berkata, calon boleh menghubungi guru atau mengikuti kelas tambahan melalui Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang masih boleh berlangsung jika perlu.

“Pembelajaran kendiri langkah terbaik menghilangkan tekanan pelajar selain meredakan debaran menjelang peperiksaan.

“Masa ini boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran selain memperbaiki kelemahan teknik menjawab soalan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.