Amir Hamzah dilantik CEO baharu KWSP mula 1 Mac

327

10 FEB: Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mulai 1 Mac ini.

Beliau menggantikan Tunku Alizakri Alias yang menyandang jawatan tersebut sejak 20 Ogos 2021.

Amir Hamzah yang berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) dari Universiti Syracuse, New York memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam sektor korporat.

Beliau memulakan kerjaya dengan Kumpulan Shell sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Berhad dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Pelantikan Amir Hamzah telah diluluskan oleh Lembaga KWSP.

Sementara itu Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Tunku Alizakri akan terus memberi sumbangan terhadap sektor awam dalam kapasiti berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat majujaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama 7 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan KWSP, hari ini.

Berhubung lantikan Amir Hamzah, beliau berkata, pengalamannya yang luas dalam sektor korporat berupaya memimpin KWSP mengharungi detik-detik yang sangat kompleks dan mencabar dalam sejarahnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.