Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Ujang Mormin

81

10 FEB: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga veteran Perang Dunia Kedua, Prebet Ujang bin Mormin, yang telah kembali ke Rahmatullah pada petang semalam.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi laman Facebook Istana Negara hari ini.

Allahyarham, yang berumur 100 tahun, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor lewat petang semalam. Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu selepas dikesan positif COVID-19.

Allahyarham merupakan veteran Rejimen Askar Melayu Perang Dunia ke-2 yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan. Allahyarham pernah bersama-sama legenda wira perang Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.

Ujang juga dipercayai satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang masih tinggal meninggal dunia pada usia 100 tahun.

Perjuangan Allahyarham bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945. Allahyarham turut dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

Leftenan Adnan gugur pada 14 Februari 1942 dalam pertempuran di Bukit Chandu manakala Allahyarham yang mempertahankan kubu di Bukit Chermin mengalami kecederaan akibat serpihan meriam musuh.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.