67,000 tuntutan COVID-19 MySalam diluluskan

21

10 FEB : Sehingga akhir Januari 2021, sebanyak 67,000 tuntutan berkaitan COVID-19 di bawah inisiatif PRIHATIN MySalam dengan jumlah keseluruhan RM35 juta telah diluluskan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kata Zafrul, manfaat hospitalisasi MySalam, iaitu manfaat bernilai RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, sudah dipanjangkan kepada mereka yang dimasukkan ke hospital kerana COVID-19, sepertimana yang diumumkan dalam Pakej PRIHATIN,

“Manfaat itu juga dipanjangkan kepada mereka yang diarahkan untuk berkuarantin sama ada di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau di rumah.

“Skim ini merangkumi rawatan kesihatan bagi 45 penyakit kritikal, dan membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya di dalam menangani jangkitan COVID-19 di masa kini,”

“Kerajaan mendapati bahawa skim MySalam ini mendapat maklum balas yang memberangsangkan, kerana ia adalah suatu bentuk jaringan sosial bagi lebih kurang lapan juta golongan berpendapatan rendah dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-40 yang disiarkan secara maya hari ini.

Berhubung pelaksanaan Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 29 Januari 2021, beliau menjelaskan, Program Subsidi Upah Fasa Pertama (PSU 1.0) masih berjalan, yang mana program itu mencapai nilai penyaluran RM12.757 bilion untuk 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang didaftarkan.

“Bagi program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 130,828 pekerja berjaya mendapat pekerjaan berbanding 129,901 pekerja pada minggu sebelumnya, dengan antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

“Manakala program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula, terdapat peningkatan dari segi individu yang mengambil bahagian dalam program yang disediakan kepada 133,301 peserta, peningkatan sebanyak 348 daripada 132,953 individu pada minggu sebelumnya,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN khas untuk PKS Mikro dengan dana RM100 juta sudah mencapai objektifnya dengan memanfaatkan 14,946 PKS Mikro.

“Masih terdapat inisiatif pembiayaan yang tersedia seperti Pembiayaan PKS PENJANA dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, juga untuk PKS serta PKS Mikro.

“Bagi Pembiayaan PKS PENJANA, sebanyak 6,507 permohonan sudah diluluskan dengan jumlah nilai pinjaman sebanyak RM1.231 bilion,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.