Wajib guna aplikasi MySejahtera seluruh negara

1,066

9 FEB: Kerajaan bersetuju untuk mewajibkan penggunaan aplikasi My Sejahtera di seluruh negara terutamanya kawasan yang mempunyai capaian internet yang luas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan ini adalah berkuat kuasa serta merta di samping membenarkan penggunaan aplikasi lain yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri.

“Hal ini kerana didapati bahawa pelanggan tidak mencatatkan nama dan nombor telefon yang betul dan ia menyukarkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes positif COVID-19 di premis-premis terlibat.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Selain itu, saya maklum di setengah negeri contohnya di Selangor ada aplikasi My Selangkah. Diwajibkan menggunakan My Sejahtera namun dalam masa sama dibenarkan menggunakan aplikasi lain.

“Kita tidak mengharamkan penggunaan aplikasi lain namun wajib dan mesti ada aplikasi My Sejahtera,” katanya dalam sidang media Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri memberitahu pengecualian diberikan bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.

“Kawasan yang tidak mempunyai capaian internet dibenarkan penggunaan isi pengenalan butiran diri secara manual. Kita faham ramai tidak mahu isi butiran diri secara manual dengan betul.

“Namun saya ingin tegaskan tujuan butiran itu jika ada kes positif di premis, tempat mereka masuki, lebih mudah Kementerian Kesihatan untuk mengesan mereka sebagai kontak rapat dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan industri kreatif beroperasi dengan SOP yang ketat.

Menurut beliau, waktu operasi pula dibenarkan dari pukul 8 pagi hingga 10 malam sahaja yang akan berkuat kuasa mulai esok.

“Antara yang dibenarkan ialah produksi animasi dan musik, rakaman lagu di studio, pra produksi pengambaran, iklan serta penggembaran di studio yang merangkumi dokumentasi, live streaming dan rakaman seni dan warisan tanpa penonton.

“Saringan ujian COVID-19 perlu dilakukan bagi semua yang terlibat dengan produksi pengambaran. Keputusan perlu diserahkan kepada Finas tiga hari sebelum pengambaran,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan turut bersetuju membenarkan Program Latihan berpusat bagi pasukan-pasukan dalam Liga Bola sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari hadapan.

Beliau berkata, tempat latihan dan pergerakan atlet dan pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan.

“Penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut SOP “Camp-Quarantine” dan “Home-Quarantine” yang telah ditetapkan. Kementerian Belia dan Sukan juga telah membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.

“Penelitian akhir sedang dibuat dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.