Hantaran jelik di FB, lelaki berdepan hukuman penjara

83

9 FEB :  Seorang penganggur, K. Haridas, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memuat naik komunikasi jelik di laman sosial Facebook tiga tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook ‘Defend People’s Rights Group’ di pautan www.makklada.org pada pukul 12.37 tengah hari, 26 Mac 2018.

Haridas yang berasal dari Taman Pasir Mas, Seremban, Negeri Sembilan, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya bertajuk ‘Talk GE14-Part 11 #Vote For PH #Kick Out BN ‘So Many Dummy Police Officer In Malaysia’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim menawarkan jaminan tidak kurang daripada RM30,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Hakim Norsalha Datuk Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang memuat naik sebarang hantaran di laman sesawang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.