Gambar tular cetak bahan kempen PN cerita lama

146

9 FEB: Rakaman video yang memaparkan bendera Perikatan Nasional (PN) sedang dicetak kononnya sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, bendera dan bahan-bahan kempen tersebut dicetak bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

“Telah tular beberapa gambar yang menunjukkan poster, kemeja T dan bendera PN dicetak, seolah-olah menunjukkan bahawa PN sedang membuat persediaan pilihanraya.

“Saya hanya ada satu jawapan, fitnah… itu gambar lama. Tanda pagar #AbahKitaBah adalah slogan yang digunakan sewaktu pilihanraya negeri (PRN) Sabah pada hujung tahun lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan bendera PN sedang dicetak dan gambar tangkap layar tarikh pelawaan sebut harga daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa lalu berhubung pembekalan dan penghantaran alat tulis untuk kegunaan PRU-15 Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengharapkan perbuatan menyebarkan berita palsu ini tidak lagi berlaku.

“Saya harap agar fitnah sebegini dihentikan dan tidak sekali-kali dijadikan amalan.

“Fokus kepada khidmat masyarakat, ringankan beban rakyat, bukan tambah beban dosa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.