Armada sifatkan serangan terhadap PM calar maruah negara

83

9 FEB: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengecam sekeras-kerasnya serangan yang bersifat kurang ajar dan mencalarkan maruah negara, apabila kata-kata kesat turut dilontarkan di laman media sosial milik pemimpin negara jiran, Presiden Joko Widodo.

Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata, lawatan rasmi Perdana Menteru ke Indonesia adalah sebuah misi diplomasi penting antara dua negara serumpun yang berkongsi bahasa, budaya dan pertalian darah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional 1 menegaskan antara yang dibincangkan ialah kerjasama ekonomi yang bakal memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Amatlah tidak patriotik untuk rakyat Malaysia menjatuhkan air muka negara sedemikian rupa. Perbuatan ini tidak melambangkan budi bahasa kita sebagai rakyat Malaysia yang menjujung kesopanan dan kesusilaan sebagai salah satu prinsip Rukun Negara.

“Armada BERSATU memberi amaran agar perbuatan tidak beradab ini dihentikan serta-merta sebelum ia menjadi barah. Jadikanlah prinsip Rukun Negara ini sebagai panduan.

“Ketegangan politik yang tidak berkesudahan hanya akan merugikan negara. Walaupun pandangan politik kita berbeza, ingatlah bahawa niat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya .

Wan Ahmad Fayhsal berkata sebagai sebuah demokrasi, Malaysia membuka seluas-luasnya peluang untuk bersuara dan berbeza pendapat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

Namun begitu, beliau berkata negara telah dikejutkan dengan serangan ke atas Perdana Menteri, di media sosial minggu lalu di mana ia adalah keterlaluan dan mencemarkan nama baik Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan ada pihak tertentu yang sanggup menggunakan akaun Facebook palsu semata-mata untuk memburukkan Perdana Menteri, dengan meninggal komen jelik dan negatif dalam laman sosial milik Presiden Indonesia.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh, berkata perkara itu boleh dilihat berdasarkan komen yang dimuat naik di laman Facebook milik Presiden Jokowi.

“Baca komen-komen di laman Facebook Presiden Joko Widodo berhubung postingnya bersama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Lihat beberapa komen dari rakyat Malaysia yang menghentam Perdana Menteri kita. Dan kebanyakan komen sebegitu datang dari ‘akaun palsu’. Sepertinya ada arahan atau gerakan dari pihak tertentu yang merencana perkara sebegini,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.