160,000 pekerjaan baharu hasil komitmen pelaburan

109

9 FEB: Kira-kira 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan tahun ini melalui komitmen pelaburan serta hasil koordinasi rapat antara kerajaan dan industri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan optimis sasaran yang ditetapkan dapat dicapai memandangkan strategi yang dirangka turut mengambil kira kepatuhan terhadap pelaksanaan PKP dan norma baharu.

Menurut beliau, antara inisiatif dengan norma baharu adalah penganjuran sebanyak 200 sesi webinar serta 180 sesi temuduga secara dalam talian.

“Pelbagai promosi turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seterusnya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.

“Setiap STF juga akan bekerjasama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap pelaksanaan bersifat inklusif,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pekerjaan Negara (NEC) secara sidang video, hari ini.

majlis pekerjaan negara
Mesyuarat kedua NEC yang dianjurkan secara sidang video hari ini disertai 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan.

Mesyuarat itu dihadiri secara maya oleh 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan yang telah dilantik secara tetap iaitu Pengerusi Petronas merangkap Pro Canselor Universiti Teknologi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pewai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik; Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson dan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Turut hadir, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman; Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia), Chee Hong Lee; Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh; Pengerusi Nasional Persatuan SME Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong dan Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

Muhyiddin menambah, rakyat yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mendaftar di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang merupakan pusat hentian setempat dan rujukan utama bagi inisiatif berkaitan pekerjaan.

“Terdapat lebih daripada 200,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk pencari kerja dengan proses pemadanan calon dan industri turut disediakan.

“Selain itu, portal ini bertindak sebagai pusat sehenti bagi maklumat dan capaian inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula, khidmat nasihat dan juga program semasa berkaitan pekerjaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan mengalu-alukan tawaran FMM dan Persatuan SME Malaysia untuk bekerjasama bagi mengatasi kadar pengangguran melalui inisiatif di bawah Belanjawan 2021 terutamanya Peningkatan Kemahiran dan Pendigitalan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.