Ustaz Ebit Lew agih 500 tablet sumbangan TMJ

106

8 FEB: Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memanfaatkan wang sumbangan RM200,000 diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk membeli 500 peranti bagi diagihkan kepada 500 pelajar terpilih.

Beliau berkata semua tablet berkenaan akan diagihkan kepada pelajar memerlukan untuk memudahkan mereka mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian.

Berikutan itu, Ebit juga mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana memberikan sumbangan berkenaan bagi membolehkan meneruskan usaha dakwah dan kebajikan untuk membantu golongan memerlukan bantuan.

“Doakan ya. Terima kasih TMJ. Saya gunakan untuk beli 500 tab untuk 500 pelajar untuk kelas online. Syukur dah sampai. Hari ini kami akan agihkan pada yang memerlukan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.

Pada 5 Februari lalu, Tunku Mahkota Johor menerima kunjungan pendakwah popular itu di kediaman rasmi di Istana Bukit Pelangi, Johor.

Tunku Ismail turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di negeri ini.

Tunku Mahkota Johor bertitah, Ebit sering menolong rakyat terutama golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.

“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.

“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan,” titah baginda yang turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM200,000 dalam pertemuan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.