Terengganu benar solat Jumaat, fardu sepanjang tempoh PKP

83

8 FEB : Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan solat fardu dan solat Jumaat dilaksanakan di semua masjid dan surau di Terengganu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa hingga 18 Feb depan setelah mendapat  pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan setelah diperkenankan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan mendapat pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

“Jumlah jemaah mestilah mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak memasang penyaman udara sepanjang solat berlangsung, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

“Selain itu, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk sebanyak tiga kali seminggu.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sekiranya gagal, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti kuliah harian masih tidak dibenarkan termasuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain.  

Katanya lagi menerusi kenyatan itu, Sultan Mizan juga  bertitah supaya rakyat jelata agar mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan supaya wabak COVID-19 ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

“Baginda menghargai pengorbanan masa dan tenaga semua petugas barisan hadapan dan berharap rakyat jelata terus bersabar dan berdoa semoga sentiasa berada dalam kerahmatan dan lindungan Allah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.