Suspek buang sisa kimia rezab Sg Langat diberkas

75

8 FEB: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki dipercayai menjadi suspek kes pembuangan sisa kimia di kawasan rezab Sungai Langat, berhampiran Taman Reko, Kajang, pada 3 Februari lalu.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut menyita sebuah lori tiga tan yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan haram terbabit.

“Susulan kejadian pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Tmn Seri Reko Kajang pada 3 Feb lalu, JAS Selangor telah berjaya menyita lori 3 tan yang disyaki digunakan untuk tujuan tersebut.

“Suspek juga telah diberkas. Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk diadili di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya ,hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata suspek warga tempatan berusia 30-an berkenaan
ditahan kira-kira jam 3.30 petang di Bukit Serdang pada Sabtu lalu.

Nor Aziah berkata, tangkapan itu susulan serbuan dilakukan sepasukan anggota JAS Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil maklumat risikan, JAS Selangor menemui lori muatan tiga tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti terbabit yang berpotensi mencemarkan sungai dan menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor.

“Lori berkenaan kemudian disita untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas perkembangan kes itu,” jelasnya.

Nor Aziah berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk mendakwa suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan melaporkan kerajaan Selangor mengesan dua lokasi pembuangan sisa bahan kimia secara haram di Taman Sri Reko dan Kajang Perdana.

Siasatan dilakukan JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menemui 21 tong sisa kimia di lokasi terbabit. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.