RUU 355: Fadhli sekolahkan Saifuddin Nasution

6,774

8 JAN: Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, hari ini, ‘menyekolahkan’ Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai isu pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Ahmad Fadhli berkata dakwaan Saifuddin bahawa ‘Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli parlimen parti Islam termasuk Marang (Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merangkap Presiden PAS)’ mendesak supaya pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 segera dibentangkan di Parlimen adalah berniat jahat dan fitnah semata-mata.

“Saya sangat bersetuju dengan pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung RUU Akta 355 iaitu setakat manakah ia diusahakan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Pada saya, pertanyaan itu yang ditujukan kepada Ahli Parlimen PAS sangat ‘valid’ (tepat) kerana ia sekali gus menunjukkan pengiktirafan beliau terhadap PAS sebagai parti yang bersungguh-sungguh bersuara ke arah pemerkasaan undang-undang syariah.

“Pertanyaan yang sama tidak kedengaran ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kerana semua orang tahu PH bukanlah pakatan politik yang boleh diharapkan untuk mengusahakan perkara ini.

“Bahkan ketika menjadi kerajaan pun, ia bukanlah agenda beliau dan partinya kerana semua orang tahu agenda utama beliau dan partinya hanyalah memastikan individu tertentu menjadi Perdana Menteri. Itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata, beliau berasa agak pelik apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu menyebut bahawa, ‘Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli parlimen PAS termasuk Abdul Hadi tidak membangkitkan isu berkenaan.

Ini kerana jika dibuat carian dengan mudah di laman web Parlimen, Ahmad Fadhli berkata semua orang boleh mengakses maklumat mengenai dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 26 November 2020 bahawa beliau sendiri bangun bertanya kepada Perdana Menteri berhubung menyatakan usaha-usaha yang telah dijalankan setakat ini untuk memastikan pindaan Akta 355 dapat dilaksanakan.

“Soalan saya dijawab oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary secara terperinci menggariskan pelan bertindak kerajaan ke arah memastikan usaha menaiktaraf kuasa mahkamah syariah ini dapat dilaksana termasuklah melakukan perundingan pihak berkuasa negeri yang merupakan pemegang taruh dalam hal ehwal agama di negeri masing-masing. Ia juga boleh dirujuk dengan mudah di laman web parlimen.

“Saya faham kenapa beliau terlepas pandang berhubung soalan saya dan jawapan kerajaan ini, kerana pada tarikh tersebut ialah 26 November 2020 iaitu hari pengundingan Belanjawan 2021 yang menyaksikan hanya 13 orang Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk memohon undi belah bahagi.

“Barangkali pada sebelah pagi sebelum penggulungan Menteri Kewangan, pembangkang sedang bermesyuarat dengan hebatnya (meminjam istilah Ahli Parlimen Arau) sehingga terlupa bahawa persidangan Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi setiap hari dengan soal jawab lisan.

“Menyatakan ‘langsung tiada usaha’ Ahli Parlimen PAS untuk bertanya tentang RUU355 ini ialah satu tuduhan. Jika ia disengajakan, ia menjadi fitnah.

“Jika tidak disengajakan (kerana terlepas pandang mahupun tertidur), bolehlah diperbetulkan. Bertanya kepada pihak kerajaan apakah perkembangannya barangkali lebih tepat. Menyatakan kami Ahli Parlimen PAS sebagai langsung tidak bersuara sedikit kurang tepat Yang Berhormat Datuk Seri (Saifuddin).

“Dan ini bukan kali pertama Datuk Seri Saifuddin Nasution silap fakta tentang Ahli Parlimen PAS. Ketika pembentangan belanjawan pun, jawapan beliau di dalam ruang Facebook kepada soalan seorang pengguna FB berhubung kehadiran YB Marang, beliau menyatakan, “Tuan Guru Haji Hadi tiada dalam dewan sekarang… tidak hadir” sedangkan YB Marang hadir ketika pembentangan belanjawan tersebut. Itupun saya tidak pasti, fakta itu diperbetulkan atau tidak.
Soalan kepada pihak kerajaan, biarlah kerajaan yang menjawabnya,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.