Hampir 1,000 individu ditahan ingkar PKP

43

8 JAN: Biarpun setiap hari media melaporkan beratus individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun semakin ramai yang ditahan kerana melakukan kesalahan sama.

Ini terbukti apabila PDRM menahan 950 individu termasuk 838 daripadanya dikompaun, 93 individu direman manakala 19 lagi dijamin kerana melakukan kesalahan ingkar SOP dan PKP di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (217), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (209), tidak memakai pelitup muka (180), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (117), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (41).

Selain itu, Ismail Sabri berkata 39 individu ditahan kerana terbabit dengan aktiviti pusat hiburan, keluar rumah tanpa alasan munasabah (30),
membawa penumpang berlebihan (19), ingkar perintah kuarantin (15) dan lain-lain (83).

“Pihak berkuasa juga menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat serta dua  buah kapal/bot dalam Ops Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 121 buah bot/kapal di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan setakat ini seramai 6,165 daripada 319,762 pekerja asing yang menjalani ujian saringan wajib sejak 1 Disember lalu disahkan positif COVID-19 sehingga semalam (66 kes positif).

Malah, Ismail Sabri berkata terbaharu 66 daripada seramai 7,139 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan semalam disahkan positif COVID-19,” katanya.

“Semalam, seramai 532 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Sejak 24 Julai 2020, seramai 118,347 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 72 hotel dan 14 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Seramai 7,070 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 110,776 orang dibenarkan pulang manakala 501 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.