Perbicaraan tuduhan rasuah Netanyahu disambung hari ini

26

8 FEB : Perbicaraan tuduhan rasuah terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bersambung hari ini di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis di mana perdana menteri Israel itu dilihat hadir ke mahkamah tersebut

Sesi perbicaraan dimulakan dengan Hakim Rivka Feldman Friedman mengesahkan kehadiran defendan dan Netanyahu menjawab dengan mengesahkan kehadirannya, mematuhi prosedur mahkamah.

“Saya mengesahkan jawapan bertulis yang diserahkan atas nama saya,” kata Netanyahu kepada mahkamah sebelum meninggalkan kamar mahkamah.

Meskipun dikawal pasukan keselamatan, puluhan rakyat Israel berhimpun di jalan untuk mengadakan bantahan terhadap Netanyahu berhampiran bangunan mahkamah dan menuntut beliau meletak jawatan.

Netanyahu berdepan pertuduhan rasuah dan pecah amanah namun beliau berulang kali menafikan tuduhan tersebut.

Pada 14 Januari, Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit mengemukakan dakwaan terhadap Netanyahu. Sesi perbicaraan pertamanya diadakan pada Mei 2020, kemudian disusuli dengan sesi lain pada Julai 2020, sebelum perbicaraan ditangguhkan kerana sekatan pergerakan COVID-19.

Netanyahu sedang membuat persediaan mencalonkan diri dalam pilihan raya umum Israel pada 23 Mac, pusingan keempat pilihan raya negara itu dalam tempoh dua tahun.

Netanyahu, yang memimpin parti bersayap kanan Likud, adalah Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat dengan lebih 14 tahun memegang jawatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.