Kes harian menurun, kes kematian catat rekod baharu

38

8 FEB: Kes harian baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan sebanyak 3,100 kes direkodkan hari ini, berbanding 3731 kes dilaporkan semalam.

Namun, kes kematian meningkat sebanyak 24 orang setakat tengah hari tadi berbanding 15 kematian yang dicatatkan semalam, sekaligus menjadikan rekod tertinggi kes kematian harian akibat COVID-19 sepanjang pandemik.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tujuh kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Perak dan Johor, serta satu kes di Kelantan, Melaka, Kedah, dan Pulau Pinang. Sebanyak 21 kes melibatkan warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 222,628 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 47,487 kes.

Menurut beliau, Selangor kekal mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian baharu tertinggi iaitu 1,196 kes yang direkodkan di negara setakat hari ini.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,099 kes.

“Sebanyak 282 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 134 dan jumlah keseluruhan 896 kematian setakat ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini

Pada masa sama, sebanyak 2,340 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 192, 679 kes atau 78.5 peratus. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.