Jumlah populasi bekerja meningkat 193,000 orang

32

8 FEB: Bilangan populasi bekerja di negara ini pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus bersamaan dengan 193,000 orang kepada 15.22 juta orang setelah mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu adalah berikutan langkah kerajaan membenarkan semula sektor ekonomi beroperasi.

“Pekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, kesihatan, kemanusiaan dan kerja sosial, maklumat, komunikasi dan pendidikan.

“Bagaimanapun guna tenaga kerja dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan dan penyimpanan; serta kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri terbabit.

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020, manakala sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima. Begitu juga sektor pembinaan turut mencatatkan penurunan bulan ke bulan,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus atau bersama dengan 772,900 orang sehingga Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

Beliau memberitahu, pasaran buruh pada Disember kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai lebih 27,000 orang kepada 15.99 juta orang dengan kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada Disember adalah pada 68.4 peratus.

“Bagi suku ke empat 2020 pula, Mohd Uzir berkata keadaan pasaran buruh bertambah baik secaar beransur-ansur susulan pembukaan ekonomi.

“Keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.