J&T Express nafi pekerja mogok bantah komisen

105

8 FEB: Selepas rakaman video kakitangan sebuah syarikat kurier mencampakkan barangan pelanggan tular sejak kelmarin, J&T Express hari ini tampil meminta maaf.

Syarikat kurier itu turut menafikan dakwaan bahawa segelintir pekerjanya mogok kerana membantah polisi komisen yang baharu.

Menurut syarikat kurier itu, segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata.

“Sekali lagi, J&T Express ingin meminta maaf atas kejadian yang tidak diingini.

“Pihak J&T Express akan sedaya upaya meningkatkan mutu perkhidmatan kami,” kata syarikat tersebut dalam hantaran Facebook J&T Express Malaysia – Perak.

Rakaman video yang tular dalam media sosial itu telah menimbulkan kebimbangan para pelanggan tentang keadaan barangan yang dihantar menggunakan perkhidmatan syarikat kurier tersebut.

Ramai juga yang mengadu barangan yang dibeli secara dalam talian lewat tiba ke alamat penghantaran.

Pada masa yang sama, kenyataan itu menambah, para pekerja J&T Express Perak ingin meminta maaf atas perangai pekerja dalam mengagihkan bungkusan dengan secara ganas dan sebarang keadaan yang tidak menyenangkan.

“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.