Gabungan UMNO, PAS, BERSATU bakal dominasi PRU-15

2,187

8 FEB : Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka akan menyaksikan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kekal memerintah dan mendominasi menerusi pentadbiran yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan dalam kepelbagaian.

Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Kee Ping berpendapat, walaupun 80 ke 90 peratus orang-orang cina akan menentang kerangka sedemikian, namun kemenangan dan dominasi parti politik Melayu tidak akan dapat dielakkan.

Apa yang jelas, menurut beliau, orang-orang Cina tidak menyukai DAP dan Pakatan Harapan (PH) sejak daripada Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang telah memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

“Selagi tidak ada lagi dominasi UMNO secara tunggal orang-orang Cina akan menerima dengan mudah perpaduan politik Melayu dalam kepelbagaian yang baru.

“PRU 2018 menunjukkan bahawa 75 peratus pengundi Melayu menyokong PAS dan UMNO. PH dengan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim hanya mampu memperolehi 25 peratus undi pengundi Melayu sahaja.

“Oleh itu, PH tidak akan dapat menarik undi pengundi Melayu. Apatah lagi bila kebanyakan daripada pengundi baru, lebih 75 peratus daripada yang berumur 18 tahun ke atas adalah berbangsa Melayu,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kee Ping yang juga merupakan penasihat Strategic Institute for Asia Pasific (KSI) memberitahu, ketiga-tiga parti Melayu itu mempunyai daya tarikan kepada orang Melayu, manakala PH pula  tiada kekuatan itu selain telah ‘mencederakan’ penyokong Cina dengan teruk sekali.

Beliau berpandangan, sudah pastinya UMNO, PAS dan BERSATU akan mengekalkan sekitar 100 kerusi mereka bagi memastikan kemenangan asas mereka ditambah 19 kerusi yang dimiliki Parti Gabungan Sarawak.

“Tetapi dengan kehancuran PKR di Sarawak, GPS dijangka akan menang di lebih banyak kerusi lagi. Di Sabah, pertembungan adalah antara pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Melayu dengan pengundi Bajau serta Sulu. Jika pengundi KDM dapat disatukan melalui kerjasama antara PBS dan STAR maka ini akan menjamin kemenangan PN/BN/PAS di 7 hingga 8 kerusi.

“Di tempat yang MCA/MIC tandingi pula, mereka boleh menang mudah di lebih 10 kerusi dengan bantuan PAS. Ini kerana jika PAS tidak bertanding, MCA/MIC boleh menang di lebih 12 kerusi dalam PRU 14!

“Secara mudahnya, bila tiga parti Melayu ini bersatu dalam PRU 15, dengan 100 kerusi mereka, yang ditambah pula oleh kerusi di Sarawak dan Sabah serta kerusi MCA/MIC, terdapat peluang cerah untuk PN/BN/PAS mendekati bilangan 147 kerusi, iaitu bilangan majoriti 2/3, “katanya.

Tambah beliau, menerusi kemenangan itu nanti, kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi Perdana Menteri baharu, sementara pemimpin UMNO akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) manakala pemimpin PAS akan memegang jawatan sebagai TPM kedua.

Sementara itu, Kee Ping berkata secara asasnya pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku di antara 90 hingga 100 kerusi manakala kerusi selebihnya akan dijadikan ‘bebas untuk semua’.

“Perjanjian sedemikian akan memastikan ketiga-tiga parti Melayu ini memenangi jumlah minima 90 hingga 100 kerusi, sama seperti bilangan 92 kerusi sekarang melalui 18 kerusi PAS, 38 kerusi UMNO dan 36 kerusi BERSATU. UMNO boleh mendapat minima 40 kerusi lebih, PAS 20 kerusi lebih dan BERSATU sekitar 35 kerusi.

“Dengan keyakinan yang cukup terhadap kepimpinan baru UMNO, nisbah tersebut boleh diterima kerana Muhyiddin Yassin telah menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya kerana Dr Mahathir Mohamad mahukan UMNO mati, tetapi Muhyiddin Yassin enggan berbuat demikian.

“30 hingga 40 kerusi majoriti Melayu selebihnya boleh dipertandingkan secara bebas oleh mana-mana dua atau tiga parti Melayu ini tetapi jika ada rundingan pastilah lebih banyak kerusi akan dapat dimenangi oleh mana-mana 1 daripada tiga parti Melayu ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.