Cerca PM di FB Jokowi cemar imej negara

229

8 FEB: Tindakan netizen mencerca Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Facebook Presiden Indonesia, Joko Widodo membuktikan ketidakmatangan sesetengah rakyat dalam mempertahankan imej Malaysia di mata rakyat luar negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, pihaknya kecewa dengan apa yang berlaku yang menunjukkan wargamaya gagal mengasingkan antara permasalahan politik tempatan dan menjaga nama baik negara.

Menurut beliau, ini juga boleh disifatkan seperti tindakan pengkhinat yang menyebarkan permasalahan dalaman Malaysia kepada negara luar seperti Indonesia di mana tindakan ini jarang dilihat dilakukan oleh rakyat negara lain ketika pemimpin atau ketua kerajaan mereka sedang melakukan lawatan rasmi dan delegasi di negara lain.

“Tindakan itu hanyalah semata-mata bersifat untuk memuaskan hati mereka, melempiaskan emosi namun dalam masa sama sebenarnya mereka telah mencemarkan imej negara.

“Cuba kita lihat apabila kepala kerajaan atau ketua negara lain walau ada rakyat mereka tak suka, tetapi bila pemimpin mereka itu sedang melakukan lawatan atau terima kunjungan rasmi ketua negara lain, mereka tidak memburukkan ketua negara mereka di mata masyarakat dunia.

“Saya pernah belajar di Indonesia dan walau mereka tidak berpuas hati kepada kepimpinan ahli politik negara mereka namun semangat nasionalisme dan patriotisme yang lebih tinggi dari kebencian politik, mereka akan bersatu mempertahankan imej negara mereka di peringkat luar,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Muhammad Faiz Na'aman
MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN

Justeru, Muhammad Faiz mengharapkan agar rakyat malaysia khususnya warga maya di media sosial dapat berfikiran jauh serta lebih terbuka dalam membezakan fahaman ideologi politik dan ketidakpuas hatian terhadap kerajaan dan tidak meluahkan permasalahan dalaman politik Malaysia kepada negara lain.

“Macamana sekalipun benci Perdana Menteri, dia telah menerima tauliah pelantikan dari Yang di-Pertuan Agong, kalau itu tak boleh nak hormat, mereka tak matang dan perbuatan seperti ini memberikan gambaran tidak baik kepada imej dan kesatuan rakyat di negara kita.

“Saya agak kecewa dengan sikap sesetengah warganet kita dicampur pula dengan cercaan pihak-pihak siber troopers dan pihak berkepentingan politik. Sepatutnya kita perlu bersama dalam menjaga nama baik Malaysia bagi mewujudkan suasana positif dalam menjaga hubungan diplomatik antara kedua negara,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan pernanan medium penerangan kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan agar segala bantuan dan insentif yang disediakan dapat disampaikan dengan sebaiknya kepada rakyat.

Tambahnya, jika perkara ini tidak dibendung segera, maka khabar angin atau berita palsu mudah untuk ditumpaskan yang dilihat mampu menjatuhkan reputasi kerajaan kepada rakyat.

“Mantapkan jentera penerangan masing-masing dan janganlah nak friendly fire. Jika ada apa-apa isu, kita gunakan saluran dalam untuk menyelesaikan isu tersebut. Kalau asyik bermain friendly fire dengan media, lagi rakyat akan tengok kita bermasalah,” katanya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.