81,000 rakyat Sabah bakal terima bantuan makanan

100

8 FEB : Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, seramai 81,000 penerima dalam senarai eKasih di Sabah akan menerima bantuan bakul makanan COVID-19 bagi membantu mereka menghadapi pelbagai kesukaran akibat pandemik itu.

Menurut beliau, proses pengagihan bakul makanan untuk penerima eKasih telah dibuat pusat kawalan operasi bencana daerah terlibat bermula semalam.

“Sejumlah 10,686 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan terkesan di bawah Program Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 sejak semalam.

“Pengagihan dijangka akan memuncak pada minggu ini dan selain senarai eKasih, bantuan bakul makanan juga diteruskan buat rakyat yang dikenakan arahan kuarantin. Jumlah penerima dalam kalangan  mereka yang dikuarantin bergantung kepada ujian saringan COVID-19 dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media malam ini.

Program eKasih merupakan satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Terdahulu, Shahelmy melakukan tinjauan terhadap pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Putatan di sini.

Katanya, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna jika mendapati terdapat peniaga menjual pada harga melebihi harga kawalan dan menaikan harga jualan secara tidak munasabah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.