Tuduhan Hannah Yeoh berniat jahat – Mahathir

681

7 FEB: Dakwaan pemimpin DAP, Hannah Yeoh kononnya Perikatan Nasional (PN) di kawasan Segambut menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada kerajaan Persekutuan adalah tidak benar.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan tidak disalurkan kepada PN Parlimen Segambut.

Sebaliknya, menurut beliau, dana itu disalurkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk penganjuran program kebajikan dan kesihatan serta membaik pulih infrastruktur seperti jalan, sekolah serta taman awam.

MAHATHIR MOHD RAIS
MAHATHIR MOHD RAIS

“PN Wilayah Persekutuan baru ditubuhkan pada 1 Februari 2021 dan sehingga kini tiada lagi lantikan penyelaras PN Segambut.

“Kami menggunakan wang persendirian atau sumbangan derma daripada kalangan ahli- ahli bahagian,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Hannah membuat dakwaan tidak berasas itu melalui laman Facebook miliknya.

Mahathir menambah, fitnah tidak berasas oleh Hannah itu berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti dan nama baik PN.

Beliau menasihatkan Hannah supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dengan baik serta menghentikan sandiwara politik murahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.