Tommy Thomas cuba rosak keharmonian negara

248

7 FEB: Wanita UMNO mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dilihat cuba merosakkan keharmonian negara Malaysia.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita UMNO bahagian seluruh negara telah membuat laporan polis dan berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera terhadap isu ini.

Selain itu, menurut beliau, Wanita UMNO juga mendesak pihak berkaitan dapat merampas buku penulisan Tommy yang bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ kerana sekiranya buku ini tersebar, pasti ia boleh menimbulkan permusuhan antara masyarakat berbilang kaum.

NORAINI AHMAD
NORAINI AHMAD

“Wanita UMNO sendiri telah meneliti kandungan buku buku tersebut dan ternyata ia mengandungi petikan-petikan yang berbaur hasutan dan boleh membawa kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Tindakan Tommy menerbitkan buku ini sekali gus memalukan malah menghina sistem perundangan negara. Sebagai seorang pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara, seharusnya beliau sedar akan akta kerahsiaan dan sumpah janji yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengesahkan polis sudah menerima tujuh laporan berhubung dakwaan memfitnah yang dilaporkan dilakukan Tommy.

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata pada masa ini polis masih menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.