Projek Musang King Gunung Inas sudah dihentikan

114

7 FEB: Kerajaan negeri Kedah telah mengarahkan projek ladang durian di Gunung Inas, Baling dihentikan pada Julai tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, arahan itu dikeluarkan sebulan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran di negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Pada Julai tahun lalu (2020), sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), sempena Mesyuarat Exco Kerajaan negeri yang diadakan di Baling, saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

“Dasar kami jelas, peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi dan kepentingan rakyat mesti didahulukan,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan melalui Facebook, hari ini.

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD NOR

Beliau mengulas tentang dakwaan bahawa wujud ladang durian terbesar di kawasan itu seperti dalam rakaman video yang tular sejak semalam.

Dalam video tersebut, seorang lelaki mendakwa sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit di Gunung Inas sedang dibangunkan sebagai ladang durian, kononnya terbesar di dunia.

Muhammad Sanusi menambah, projek ladang hutan mesti ditanam spesies yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesies itu.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, Jabatan Perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan, ditanam dengan spesies buah-buahan dan pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar sudah pun ditanam durian Musang King.

“Arahan kerajaan jelas iaitu hentikan tanaman durian Musang King, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, tanaman tutup bumi hendaklah ditanam di kawasan tanah yang sudah digondolkan dengan segera untuk mencegah hakisan.

Beliau juga difahamkan bahawa video yang tular itu sudah lama dirakamkan, sebelum arahan berhenti kerja dikeluarkan.

“Saya tidak kenal mereka dan saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula,” katanya.

Muhammad Sanusi juga telah meminta semua agensi berkaitan mengemukakan laporan penuh tentang situasi semasa di kawasan terbabit. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.