Lebih 5,000 daftar e-LATiH dalam masa 24 jam

111

7 FEB: Dalam masa 24 jam selepas dilancarkan, platform agregator kemahiran dan pengetahuan terbesar dalam talian, e-LATiH berjaya mencatatkan pendaftaran seramai 5,240 rakyat Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang yang disediakan secara percuma itudan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik.

“Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran yang baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, jumlah pengguna yang menggunakan platform e-LATiH dijangka mencecah sejuta pada akhir Jun depan dan jumlah ini dijangka bertambah kepada dua juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Saravanan juga telah mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuat naik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan bahawa akan ada lebih daripada 1,000 kursus yang tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.

“Menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat Malaysia terhadap jenis-jenis kursus latihan melalui carian
kursus yang paling popular.

“Ini membolehkan PSMB untuk merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.

Saravanan berharap pengajaran dan pembelajaran menerusi platform yang dilancarkan itu akan menjadi lebih mudah untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.

“Adalah menjadi harapan saya juga agar rakyat Malaysia akan terus mempersiapkan diri untuk masa hadapan dengan memilih kursus bersesuaian,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, PSMB akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman sesawang pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh PSMB.

“PSMB juga akan membuka platform ini kepada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan
secara dalam talian kepada semua rakyat Malaysia di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini.

“Selain itu, PSMB juga dalam usaha untuk memberikan sijil bertauliah dalam bentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan ini untuk mencari pekerjaan baharu,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.