Komen hina PM, bila penyokong PH nak matang?

134

7 FEB: Perbuatan segelintir individu dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) memburuk-burukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam komen laman Facebook Presiden Indonesia, Joko Widodo adalah sesuatu yang sangat memalukan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, tindakan itu menggambarkan politik keji PH yang mengaibkan kepimpinan kerajaan Malaysia di luar negara tidak pernah berubah.

Menurut beliau, mereka pernah melakukan perkara serupa terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Dulu Najib, kini Muhyiddin. Politik keji PH aibkan Malaysia di luar negara. Tak suka atau benci macam mana kita dengan pemimpin negara janganlah aibkan hingga ke negara luar.

“Dalam rumah kita, nak gasak kita gasaklah. Belajarlah kematangan dalam hidup. Saya rasa malu bila mana gerombolan mereka rakyat Malaysia masuk komen dalam FB Bapak Presiden Indonesia Jokowi dengan melemparkan bermacam macam komen yang pada saya tidak matang dan jelek,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Wan Muhammad Azri mendakwa, ada rakyat Indonesia yang pelik dan terkejut dengan komen-komen daripada rakyat Malaysia yang menghina Muhyiddin.

“Kaget mereka dengan sikap segelintir rakyat kita. TSMY merupakan Perdana Menteri Malaysia yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Nak kritik atau kasar sekalipun bahasanya biarlah dalam rumah kita. Adalah mengaibkan Malaysia bila mana Perdana Menteri kita sendiri diaibkan rakyatnya di negara jiran,” katanya.

Berikutan itu, Azri mempersoalkan kematangan pembangkang dan PH dalam berpolitik sehingga sanggup mengaibkan Perdana Menteri sendiri. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.