Kesatuan guru bantah cadangan turun graf SPM, SVM

313

7 FEB: Cadangan menurunkan gred pemarkahan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tidak relevan dan boleh menjejaskan masa depan para pelajar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, cadangan berkenaan tidak relevan kerana Malaysia mempunyai standard sistem dan kaedah peperiksaan di mana gred ditentukan mengikut piawaian tertentu ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi menentukan siapa yang menerima markah atau gred A+, A atau A- dan seterusnya itu bergantung kepada graf tertentu.

Beliau berkata, sebagai contoh jika satu subjek itu contohnya ramai memperolehi markah atas 80, maka kemungkinan untuk mendapat A+ mestilah dengan mendapat 90 markah ke atas.

“Sebab itu standard yang ditetapkan oleh LPM sudah tepat, tekal dan absah. Tugas guru ialah memastikan pelajar berusaha sehingga ke saat- saat akhir dan membuat persediaan yang secukupnya.

“Faktor COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana kita telah melalui pengalaman menghadapi bencana seperti banjir, dan sebagainya. Lagipun sistem pengajaran semasa boleh berjalan secara dalam talian atau luar talian mengikut kaedah yang sesuai dengan pelajar,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa LPM dan Kementerian Pendidikan mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi calon SPM dan SVM 2020 selepas kementerian menghentikan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi calon peperiksaan berkenaan mulai 9 Februari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Harry Tan Huat Hock pula berkata, cadangan untuk menurunkan graf permarkahan untuk calon peperiksaan berkenaan sukar dilaksanakan kerana sijil SPM/SVM dijadikan penanda aras setaraf dengan peperiksaan antarabangsa di luar negara.

Oleh itu, Harry berkata LPM sebagai professional dan penjaga standard peperiksaan awam negara mesti menjalankan kewajipan mereka agar sistem pendidikan bertaraf dunia.

“Sekiranya kita ambil analogi peperiksaan seseorang doktor, bolehkah kita turunkan standardnya. SPM adalah pasport pada alam pekerjaan dan pendidikan tinggi.

“Kita mesti pastikan ada kebolehpercayaan terhadapnya oleh majikan dan juga institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.