PDRM tahan 643 lagi individu langgar SOP PKP

37

6 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 643 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan standard operasi prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 623 individu dikompaun manakala 20 orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,” katanya. 

Beliau berkata, demikian menerusi kenyataan media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima buah kenderaan darat. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 15,545 operasi sanitasi awam merangkumi 146 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Semalam, sebanyak 64 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 39 zon merah dan tiga (3) zon jingga di seluruh negara.

“Operasi Sanitasi ini melibatkan 418 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 178 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lapan (8) lain-lain agensi serta 55 buah jentera JBPM,” katanya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 117, 449 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 73 hotel dan 14 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 7,599 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital, “katanya. 

Semalam, Ismail memaklumkan seramai 8,717 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 299 orang disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatifnya, beliau berkata, sejak 1 Disember 2020, seramai 305,620 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 13,202 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 6,028 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 299,592 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 1,264 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Bermula 1 Februari 2021, kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja mereka menjalani ujian saringan COVID-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.