Penginapan sementara cegah penularan COVID-19

58

6 FEB: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan menyediakan penempatan sementara pekerja di hotel bertujuan untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang berpunca daripada kluster tempat kerja khususnya yang melibatkan penginapan pekerja. 

MOTAC dalam satu kenyataan media memaklumkan, inisiatif yang mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia itu mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

MOTAC memberitahu inisiatif tersebut merupakan alternatif terbaik pada masa ini, yang secara tidak langsung dapat membantu kelangsungan perniagaan pengusaha hotel yang terjejas akibat penularan wabak pandemik Covid-19 di dalam negara. 

“Keputusan ini dicapai semasa Sidang Khas MKN Pengurusan Covid-19 Bilangan 8 Tahun 2021 Siri 70 pada 26 Januari 2021 yang lalu. Perbincangan bersama wakil persatuan penggiat industri (perhotelan dan bas persiaran) telah diadakan pada 4 Februari lalu bagi mendapatkan pandangan dan cadangan pelaksanaan inisitif tersebut. 

“Permohonan adalah terbuka bagi hotel yang berminat yang memenuhi syarat di bawah Akta 446. Hotel yang telah berdaftar dengan MOTAC hanya perlu mengemukakan permohonan secara terus ke emel [email protected]

“Manakala bagi yang belum perlulah mendaftar dengan MOTAC telebih dahulu di www.spip.gov.my sebelum permohonan dipanjangkan kepada JTKSM,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Walau bagaimanapun, MOTAC menyatakan skop hanyalah melibatkan penginapan bilik sahaja, tidak termasuk kos air, elektrik, dobi  serta kemudahan lain.

“Namun, pihak majikan boleh mendapatkan kemudahan lain yang berkaitan dengan tambahan kos yang dirunding bersama pihak hotel.

“Maklumat lanjut berkaitan insiatif ini boleh didapati melalui laman sesawang kementerian di http://www.motac.gov.my/inisiatifhotel2021,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.